Ciri-ciri morfologi Pokok_Avokado

Pokok avokado merupakan pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 20 meter (70 kaki). Pokoknya bercabang dengan daun berwarna hijau gelap berukuran 12-25 cm panjang dan berkilat di bahagian atas permukaan daun. Bahagian bawah daun agak cerah keputihan yang mempunyai berbagai bentuk seperti lanseolat, ekliptik, bujur, ovat dan juga bentuk obovat. Buah Avocado mempunyai bentuk 'pear' yang agak tirus di bahagian pangkal buah seakan bulat dan oval berukuran 7-33 cm panjang dan 15 cm diameter. Kulit berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap dan agak kehitaman apabila cukup masak. Kadang-kala ada juga yang mempunyai titik-titik kuning dan mempunyai ketebalan kulit kira-kira 6 mm.

Bunga Avokado berwarna hijau kekuningan yang ada 2 pusaran serta 3 lobus periant dengan 9 stamen dan 2 kelenjar nektar berwarna jingga. Kaedah atau cara pendebungaan pokok avokado ada dua cara iaitu kaedah 'A' dan kaedah 'B'. Kaedah 'A' adalah dimana organ betina akan terbuka pada waktu pagi dan debunga dikeluarkan tengahari sementara keadah 'B' iaitu debunga dikeluarkan pagi dan organ betina dibuka waktu tengahari. Daripada 11 spesis avokado, sebanyak 5 spesis mempunyai bunga jenis A dan 6 spesis jenis B.